21 Julai 2009

Kekayaan Yang Hakiki

Islam melihat kekayaan dari segi kekayaan spiritual dan material.

Kekayaan Spritual:
1. Iman dan Takwa
2. Ilmu
3. Berakhlak Mulia

Kekayaan Material:
1. Anak dan Isteri
2. Emas dan Perak (Wang, Pendapatan atau Barang Perhiasan)
3. Kuda (Kenderaan)
4 Binatang Ternakan (Memelihara sendiri atau mengupah orang atau membeli saham-saham syarikat yang terbabit dalam kegiatan haiwan)
5. Kebun-kebun Tanaman (Hartanah lain seperti memiliki bangunan pejabat, kedai, rumah dan ladang selain saham-saham syarikat dalam bidang hartanah)


Had Minimum Kekayaan (Sekiranya kita ditakdirkan kaya)

Dalam Islam, harta kekayaan dapat dibahagikan kepada dua iaitu:
1. harta awam (public ownership)
2. harta persendirian (private ownership)


Islam tidak meletakkan sebarang had kekayaan maksimum dalam bentuk kuantiti atau kualiti. Namun pemilikan harta kekayaan individu dibenarkan selepas memenuhi keadaan berikut:

1. Harta kekayaan hendaklah sesuatu yang dibenarkan oleh syarak (harta kekayaan yang dimiliki hendaklah sesuatu yang dibenarkan oleh syariat Islam atau ringkasnya, harta itu perlu halal).
2. Harta kekayaan perlu digunakan dengan sebaiknya (harta kekayaan perlu menjadi jalan kepada pemiliknya mendekatkan diri dengan Tuhan).
3. Harta kekayaan perlu digunakan secara berterusan (constant utilization) yakni Islam tidak membenarkan kekayaan itu dikumpulkan dan dibiarkan beku tanpa dimanfaatkan sepenuhnya.
4. Memenuhi tuntutan-tuntutan wajib pemilikan harta kekayaan. Antaranya:
i. Membelanjakan kekayaan
ii. Mengeluarkan zakat
iii. Menunaikan haji
iv. Memerangi riba

Apabila seseorang itu mematuhi semua perkara di atas, dia berhak mengumpulkan kekayaan. Semakin berharta seseorang itu, semakin banyak cabarannya dalam memenuhi kesemua perkara yang dinyatakan di atas.



Rezeki

Tuhan memberikan rezeki kepada manusia kepada manusia dalam pelbagai bentuk seperti:
1. Anak-anak, keluarga dan keturunan.
2. Kesihatan tubuh badan.
3. Ketinggian ilmu pengetahuan.
4. Kekayaan harta benda.
5. Hubungan sosial dan silaturahim.
6. Kedudukan sosial dan pengaruh.
7. Peluang keemasan dan kesempatan.
8 Keselamatan daripada kemalangan dan bala bencana.
9. Cita-cita yang tercapai dan hajat yang terlaksana.
10. Terlepas daripada satu-satu beban.

Rezeki yang diberkati membuatkan seseorang itu semakin hampir kepada Tuhan. Kesannya, terbit rasa syukur yang mendalam dalam diri seseorang. Semakin banyak dia diberikan rezeki, semakin dia menjadi tawaduk dan bertambah rasa syukur di dadanya. Justeru, rasa syukur hanya terbit daripada rezaki yang berkat. Petunjuk rezeki yang diterima mendapat keberkatan adalah meningkatnya rasa syukur seseorang kepada Tuhan.

Sebaliknya, apabila seseorang itu mendapat semakin banyak kurniaan dan dia menjadi semakin jauh daripada Tuhan, itu tandanya apa yang diterimanya tidak berkat tetapi mendapat laknat. Apa yang diterima bukanlah rezeki tetapi hanya pemberian material yang membinasakan.

Ingatlah perolehan material yang dikecapi dengan cara maksiat ataupun secara haram tidak membawa hakikat manfaat yang sebenarnya. Ukuran manfaat yang hakiki adalah manfaat rahmat yang bakal diterima diakhirat kelak. Sangat malang apabila segala yang kita miliki di dunia ini hanya membawa kecelakaan di akhirat kelak.




Kata-Kata Renungan

Kaya dengan Mengingati Mati

“ Semakin tua, bertambah hampir diri kita dengan kematian.
Oleh yang demikian, kita sering melihat keadaan di mana orang yang semakin berumur lazimnya banyak melakukan amal ibadah dan mengurangkan aktiviti keduniaanya.

Manakala bagi orang muda pula, kematian itu biasanya dirasakan jauh.
Oleh itu, orang-orang muda lebih galak dan aktif dengan hiruk-pikuk kehidupan dunianya. ”




Riba (Jihad Memerangi Riba)

Dari segi bahasa, riba membawa maksud meningkat, bertambah ataupun berlebihan.
Secara istilah, pengertian riba lebih jelas dengan melihat dua kategori utama riba iaitu:


1. Riba nasiah ataupun riba jahiliah
2. Rina al-Fadhl

Bagi kategori riba yang pertama iaitu riba nasiah, ia melibatkan penambahan nilai ke atas sesuatu pinjaman yang disyariatkan oleh pemiutang iaitu pemberi pinjaman.
Sama ada rendah ataupun tinggi kadarnya ke atas penghutang iaitu penerima pinjaman ataupun mungkin juga lebihan itu dijanjikan sendiri oleh penghutang.
Biasanya, riba kategori ini wujud dalam setiap pinjaman yang sebelumnya ia disyariatkan harus memberi tambahan atas pinjaman pokok yang diberikan.

Nasiah bermaksud penangguhan kerana pemimjam dikenakan riba berikutan penangguhan masa pembayaran. Ini adalah riba yang biasa kita lihat diamalkan dalam sistem perbankan konvensional.
Hakikatnya, ia juga dikenali sebagai riba jahiliah kerana masyarakat Arab Jahiliah terkenal dengan amalan riba seperti ini.
Riba jahiliah ataupun riba nasiah turut dikenali dengan nama riba Quran kerana pengharaman riba jenis ini datang daripada Quran.


Kategori kedua riba dikenali riba al-fadhl.
Daripada segi istilah, riba al-fadhl ini wujud dalam transaksi pertukaran barangan riba. Al-Syaikan menceritakan, daripada Abu Said al-Khudari, Nabi Muhammad s.a.w. berkata, “Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma dan garam dengan garam; ditukarkan dengan sama, segenggam dengan segenggam. Sesiapa uang menambah ataupun meminta menambah, ia melakukan riba. Sama ada yang meminta ataupun yang memberi, dalam hal itu sama sahaja”.

Dalam hadis lain, daripada Muttafaqalaih, Abu Said al-Khudari menceritakan, “Bilal datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan membawa kurma kualiti Barni iaitu kualiti baik. Lalu Nabi Muhammad bertanya kepadanya, “Dari mana kamu dapat kurma itu?” Bilal menjawab, “Kami punya kurma yang berkualiti rendah lalu kami tukar beli dua bahagian kurma itu dengan satu bahagian kurma yang lebih baik.” Nabi Muhammad s.a.w. berkata, “MasyaAllah, itu juga adalah perbuatan riba. Jangan kamu lakukan. Sekiranya kamu mahu membeli kurma yang berkualiti baik, juallah dahulu kurmamu itu(berkualiti rendah), kemudian kamu belilah kurma yang kamu inginkan (dengan duit yang diperolehi)”.

Daripada hadis di atas, riba al-fadhl wujud dalam transaksi yang melibatkan pertukaran barangan riba seperti enam barangan yang disebutkan dalam hadis di atas. Ataupun dalam pertukaran mata wang apabila wujud perbezaan nilai dalam bentuk kualiti ataupun kuantiti mahupun apabila wujud penangguhan dalam waktu pertukaran.
Contohnya, riba al-fadhl dapat wujud dalam:
1. Pertukaran dua dinar bagi satu dinar, di mana wujud perbezaan kuantiti.
2. Pertukaran satu kilogram gandum gred B (berkualiti rendah) bagi satu kilogram gandum gred A (berkualiti tinggi). Wujud perbezaan kuantiti.
3. Pertukaran dua kilogram gandum gred A bagi satu kilogram gandum gred A, di mana wujud perbezaan kuantiti.
4. Pertukaran satu dolar Amerika bagi RM3.70 tetapi pertukaran mata wang ini tertangguh di mana individu A menerima dolar ini terlebih dahulu tetapi hanya memberikan RM3.70 kepada individu B pada keesokannya. Ertinya, tidak sah seseorang menjual dolar ($) dengan ringgit (RM) apabila terselang oleh waktu. Sekiranya mahu sah, ia perlu dibayar pada waktu itu juga.

Dalam mengungkap persoalan riba, Imran N. Hosein di dalam bukunya The Prohibition of Riba in the Quran and Sunah juga menegaskan riba juga dapat terbit dalam konteks lebihan yang wujud kepada satu pihak atas kerugian yang terpaksa ditanggung orang lain. Ringkasnya, elemen riba tercetus dalam keadaan di mana lebihan yang diperolehi seseorang terbit tanpa sebarang pertukaran yang mempunyai timbal balik yang setara (equal counter value).

Ini berbeza dalam kes jual beli di mana keuntungan (bukan riba) yang diperoleh penjual adalah wujud daripada pertukaran yang mempunyai nilai ekonomi atau nilai tambah yang munasabah. Selaku pembeli, kita tahu penjual turut memasukkan kadar untung dalam harga yang dicaj. Pembeli terima harga yang diletakkan kerana nilai tambah yang diperoleh (seperti dalam bentuk pakej yang menarik, keselesaan mendapatkan barangan dan sebagainya).

Terdapat banyak bentuk riba
Ibnu Majah dan Baihaqi melaporkan, daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad s.a.w. berkata, “Riba itu terdiri daripada 70 pintu (bentuk yang berlainan), serendah-rendah dosanya adalah seperti berzina dengan ibu sendiri”.

Berdasarkan hadis ini, kita pasti tertanya-anya apakah bentuk-bentuk lain riba sedangkan yang begitu jelas kepada kita dewasa ini adalah riba yang wujud atas pinjaman yang dibuat daripada institusi-institusi kewangan konvensional sahaja.

Merujuk hadis di atas, Imran N. Hosein juga mengatakan menjadi tanggungjawab para ilmuan dan ulama bagi mengenal pasti bentuk-bentuk riba turut berevolusi mengikut perkembangan semasa. Beliau memberikan beberapa contoh transaksi yang menurutnya adalah riba ataupun mempunyai elemen riba:
1. Sindiket bidaan palsu di mana pembida palsu meletakkan harga barangan yang dilelong pada aras tertentu (bidaan palsu) supaya pembida-pembida lain teruja dan mula membida bermula daripada aras palsu tadi.
2. Menyorok barang di mana ini dibuat supaya harga barangan itu meningkat. Peningkatan palsu ini dikira sebagai mempunyai elemen riba.
3. Monopoli yang mengeksploitasi kedudukannya dengan meletakkan harga yang tinggi atas kepentingan diri sendiri tanpa menghiraukan kepentingan umum.
4. Rasuah.
5. Loteri.
6. Sistem piramid.

Karangan Jenis Melengkapkan Cerita

A. Sudahkan cerita di bawah ini.

Saya mengayuh basikal agak perlahan. Walaupun lampu elektrik menerangi jalan, tetapi saya perlu berhati-hati. Saya bimbang termasuk lubang atau terbabas ke dalam parit. Sambil mengayuh, saya sempatberbual dengan Ahmad yang duduk di belakang. Tiba -tiba saya ternampak susuk tubuh manusia menuju belakang balai raya. Tanpa membuang masa...

Tanpa membuang masa, saya memberhentikan basikal. Ahmad kehairanan, tetapi saya segera memberitahunya. Ahmad faham. Basikal saya baringkan di tepi jalan raya.

Tiba-tiba saya terdengar cermin pecah. Saya yakin sudah tentu lelaki itu seorang pencuri. Dua bulan lalu kaset dan pinggan mangkuk dicuri orang. Mungkinkah kejadian yang sama akan berulang?

Pencuri itu mesti ditangkap, kata hati saya. Saya meminta Ahmad mengawasi pencuri itu kerana saya hendak ke rumah Tuk Ketua. Tetapi sebelum sampai di rumah Tuk Ketua, saya nampak ramai orang
baru keluar dari masjid. Salah seorang daripadanya ialah Tuk Ketua. Saya masuk ke perkarangan masjid. Di situ saya segera ceritakan apa yang saya lihat.

Tuk Ketua segera memberi taklimat. Kemudian mereka segera bergerak menuju ke balai raya. Sampai di balai raya, seramai lima orang menuju ke bahagian belakang dan sebahagian lagi
menjaga bahagian kiri, kanan dan depan. Mereka melangkah serentak merapati balai raya.

Lelaki di dalam balai raya itu perasan, tetapi tidak sempat melarikan diri. Lelaki itu akhirnya dapat ditangkap. Kemudian Tuk Ketua mengucapkan terima kasih kepada saya dan Ahmad.



B. Lengkapkan cerita di bawah yang berahkir dengan ayat berikut :

............... Bila kubuka mata, aku melihat ayah dan ibu berada di sampingku. Perempuan yang berwajah ngeri itu telah pergi.

Pada malam itu, aku berseorangan di rumah. Ayah dan ibu masih belum pulang. Di luar, hujan turun dengan lebat, kilat sabung-menyabung.

Aku toleh ke arah jam usang di dinding. Rupa-rupanya sudah hampir pukul satu pagi. Aku semakin risau kerana bayang ayah dan ibuku masih belum kelihatan.

Tiba-tiba kedengaran ketukan bertalu-talu di pintu hadapan. Aku bergegas membuka pintu. Sebaik sahaja pintu terkuak, alangkah terkejutnya aku kerana seorang perempuan bertudung hitam berada di situ. Wajahnya amat mengerikan.

Dia memandang tajam ke arahku. Peluh dingin mula keluar dari badanku. Dia cuba menerkamku. Belum sempat dia menyambar tubuhku, aku menendang badannya lalu tersungkur ke tanah. Aku menutup pintu. Tiba-tiba matu kabur. Aku terus terjatuh.

Bila kubuka mata , aku melihat ayah dan ibu berada di sampingku. Perempuan yang berwajah ngeri itu telah pergi.

20 Julai 2009

Karangan Jenis Laporan

Laporan Kegiatan Persatuan Matematik Dan Sains
Sekolah Kebangsaan Darau


Persatuan Matematik dan Sains ditubuhkan pada tahun 2000. Ahli-ahli persatuan ini berjumlah 60 orang. Mereka terdiri daripada murid-murid Tahun Empat hingga Tahun Enam.

Persatuan ini dibentuk untuk meningkatkan taraf pencapaian murid dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Selain itu, melalui persatuan ini murid-murid dapat bertukar-tukar pendapat tentang pelajaran masing-masing.

Persatuan ini telah menjalankan beberapa aktiviti sepanjang tahun 2008. Aktiviti-aktiviti tersebut berbentuk akademik dan bukan akademik. Aktiviti pertama yang kami jalankan ialah ”Peraduan Menulis Esei Tentang Sains”. Sambutan yang diberikan terhadap peraduan ini adalah sangat menggalakkan. Peraduan ini dimenangi oleh Suriani Mat Zin, murid Tahun Enam Mawar.

Kami juga menganjurkan ceramah tentang sains dan matematik. Ceramah ini disampaikan oleh pensyarah dari Universiti Malaya. Selain itu, kami turut mengadakan gotong -royong membersihkan kawasan sekolah. Kami bekerjasama memperindah kawasan taman sains dengan menanam berbagai jenis bunga dan menamakan pohon-pohon tersebut mengikut istilah sains.

Pada cuti penggal kedua persekolahan, kami mengadakan lawatan ke Taman Ular di Batu Pahat. Sebagai hasil lawatan ini, kami banyak memperolehi pengetahuan tentang penyelidikan yang dijalankan oleh pihak Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia di situ.

Pada keseluruhannya, kami berpuas hati dengan aktiviti-aktiviti yang kami jalankan. Kami juga berterima kasih kepada guru penasihat, Cikgu Rosmini Jaafar yang banyak memberikan bimbingan kepada kami.

Disediakan oleh, 25 Oktober 2008.

Azmi
_______________
(AZMI BIN SULAIMAN)
Setiausaha,
Persatuan Matematik dan Sains,
Sekolah Kebangsaan Darau,
Jerteh, Terengganu.

Karangan Jenis Cereka / Pengalaman / Keperihalan / Gambaran / Situasi

Pada hujung minggu yang lepas, saya terpaksa tinggal sendiran di rumah kerana ibu bapa saya pergi ke tempat kenduri kahwin. Untuk menghilangkan rasa jemu, saya membaca sebuah buku cerita.

Ketika saya leka membaca , tiba-tiba saya terdengar suara riuh-rendah meminta tolong. Saya segera menjenguk ke luar. Alangkah terkejutnya saya apabila saya dapati asap berkepul-kepul keluar dari rumah jiran saya. Suatu kebakaran telah berlaku.

Orang ramai mula berkumpul di situ. Ada yang cuba memadamkan kebakaran dan ada yang menolong memunggahkan barang-barang. Saya mulai berasa bimbang kalau-kalau api itu merebak ke rumah saya.

Tanpa berlengah-lengah lagi, saya terus menelefon pihakbomba. Sepuluh minit kemudian, anggota bomba pun tiba di situ. Ahli-ahli bomba telah bertungkus-lumus memadamkan api tersebut.

Akhirnya kebakaran itu dapat dikawal daripada merebak. Saya berasa gembira kerana rumah saya terselamat daripada kebakaran tersebut.

Karangan Jenis Autobiografi

Soalan 1:

Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk ’Aku Sebuah Basikal'.

Aku Sebuah Basikal

Aku berasal dari “Negara Matahari Terbit”. Aku dibuat di sebuah kilang besi waja yang tidak besar. Badanku terdiri daripada besi waja, getah asli, kaca dan plastik.

Apabila badanku telah siap dibuat, aku disebut basikal. Aku dan kawan -kawanku yang lain dipamerkan di sebuah bilik pameran. Aku berasa sungguh gembira kerana ramai orang memuji kecantikanku.

Tidak lama kemudian aku dan kawan-kawanku menaiki sebuah kapal dagang. Aku berasa sungguh seronok apabila mendapati kami akan dihantar ke Malaysia. Melalui perbualan dua orang kelasi kapal itu, aku mendapati ramai kanak-kanak di Malaysia ingin memilikiku. Aku semakin bangga.

Nasib kami sungguh malang . Kapal kami karam. Aku dan kawan-kawanku lemas. Setahun kemudian, aku dijumpai oleh seorang penyelam. Waktu itu badanku sudah berkarat. Penyelam itu membawa aku dan kawan-kawanku ke kedai yang membeli besi buruk. Aku dijual di situ.

Aku berasa sungguh kesal kerana aku telah menjadi bahan terbuang sebelum sempat mencurahkan baktiku kepada orang Malaysia.


Soalan 2 :

Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk ’Aku Sehelai Baju'.


Aku Sehelai Baju

Aku dilahirkan di sebuah butik terkenal di ibu kota. Selepas dilahirkan, aku dipakaikan pada sebuah patung dan diletakkan di dalam cermin. Tanda harga yang terlekat di badanku menunjukkan RM 350.

Setelah lima hari berada di situ, aku telah dibeli oleh seorang gadia bernama Linda. Linda memakaiku pada majlis hari jadinya. Sebaik sahaja kawan-kawan Linda melihat diriku mereka semua memuji
kecantikan yang aku miliki.

Selang beberapa bulan, Linda ingin memakaiku sekali lagi. Apabila melihat badanku berkedut, dia mengambil seterika lalu menggosokku.

Ketika badanku diseterika, telefon berdering. Linda berlari meninggalkan aku sehingga terlupa untuk menutup suis seterika. Badanku mula terasa panas.

Aku cuba menahan keperitan, tetapi akhirnya aku hanya mampu menangis kerana terlampau sakit. Lama-kelamaan sebahagian badanku terbakar.

Apabila terhidu bau benda terbakar, Linda tergesa -gesa mendapatkanku. Tetapi sudah terlambat kerana aku tidak boleh diselamatkan lagi. Kini aku hanya menjadi penghuni setia almari usang.

15 Julai 2009

Tugasan 2

Bina lima ayat berdasarkan aktiviti dalam gambar di bawah dengan betul.

(Tulis jawapan anda pada bahagian 'ulasan'. Selepas itu, tulis nama anda dan kelas.)


Tugasan 1

Arahan:

Salin semula ayat-ayat di bawah pada bahagian 'ulasan" dengan betul.
Selepas itu, tuliskan nama anda dan kelas di bawahnya (contoh: Aniza binti Ali, Tahun 5 Arif).


Komputer merupakan salah satu alat komunikasi rekaan sains. Penggunaannya begitu meluas dewasa ini. Komputer digunakan dalam pelbagai bidang.

Pendek kata, penggunaan komputer banyak mendatangkan keuntungan. Ia dapat menjimatkan masa dan wang serta membantu menyelesaikan masalah yang sukar diselesaikan oleh akal manusia.

Karangan Jenis Cerita

Soalan 1:

Suatu hari ketika kamu tinggal sendirian di rumah, kamu telah dikejutkan oleh suara riuh-rendah. Apabila kamu menjenguk ke luar, kamu dapati asap berkepul-kepul naik ke angkasa dari rumah jiran kamu. Ceritakan peristiwa yang kamu saksikan itu.

Contoh karangan:

Pada hujung minggu yang lepas, saya terpaksa tinggal sendirian di rumah kerana ibu bapa saya pergi ke tempat kenduri kahwin. Untuk menghilangkan rasa jemu, saya membaca sebuah buku cerita.

Ketika saya leka membaca, tiba-tiba saya terdengar suara riuh-rendah meminta tolong. Saya segera menjenguk ke luar. Alangkah terkejutnya saya apabila saya dapati asap berkepul-kepul keluat dari rumah jiran saya. Suatu kebakaran telah berlaku.

Orang ramai mula berkumpul di situ. Ada yang cuba memadamkan kebakaran dan ada yang menolong memunggahkan barang-barang. Saya mulai berasa bimbang kalau-kalau api itu merebak ke rumah saya.

Tanpa berlengah-lengah lagi, saya terus menelefon pihak bomba. Sepuluh minit kemudian, anggota bomba pun tiba di situ. Ahli-ahli bomba telah bertungkus-lumus memadamkan api tersebut. Akhirnya kebakaran itu dapat dikawal daripada merebak.

Saya berasa gembira kerana rumah saya terselamat daripada kebakaran tersebut.



Soalan 2:

Tulis satu karangan yang bertajuk ’Pengalaman yang Tidak Dapat Dilupakan“

Contoh karangan:

Pada tahun lalu, aku menghabiskan cuti persekolahan di kampung bersama datuk dan nenek.

Pada suatu malam, aku pergi ke rumah Ludin, teman lamaku. Oleh kerana sudah lama tidak berjumpa, kami seronok bercerita. Bila aku sedar malam sudah larut, aku bergegas pulang.

Dalam perjalanan pulang, hatiku tiba-tiba berasa cemas. Walaupun telah lama berjalan, rumah nenek masih juga tidak kelihatan. Aku memandang ke kiri dan ke kanan. Tidak ada sebuah rumah pun di situ. Bulu romaku berdiri tegak. Barulah aku sedar, rupanya aku tersesat jalan.

Tiba-tiba di satu selekoh, aku terpandang satu lembaga menuju ke arahku. Aku berasa amat takut sekali. Aku cuba membuka langkah seribu. Tetapi belum sempat aku melangkah, kakiku terpijak benda tajam, lalu terjatuh.

Kemudian, aku tidak sedarkan diri. Bilaku membuka mata, kulihat aku sudah berada di rumah datuk. Menurut nenek, datuk menemuiku terbaring di tengah jalan ketika keluar mencariku.

Aku menceritakan kepada mereka apa yang terjadi. Datuk dan nenek tersenyum sesama sendiri. Rupa-rupanya lembaga yang aku takutkan itu adalah datukku sendiri.



Soalan 3:

Keputusan UPSR telah diumumkan . Anda mendapat keputusan yang cemerlang. Bagaimanakah perasaan anda ?

Contoh karangan:

Saya bersyukur dan bertuah kerana usaha saya selama ini telah pun berhasil. Saya membuat persiapan rapi untuk peperiksaan ini semenjak awal tahun lagi.

Kejayaan ini juga merupakan kejayaan ibu bapa, guru -guru dan rakan-rakan saya. Ini kerana dorongan dan bimbingan daripada mereka menjadi kunci kejayaan saya. Bak kata pepatah ’Biar putih tulang, jangan putih mata’ dalam berusaha untuk mengecapi sesuatu kejayaan yang diimpikan.

Saya juga berasa bangga kerana mampu membuktikan kepada orang ramai bahawa seorang anak kampung daripada keluarga miskin dapat juga berjaya. Saya sedar kemiskinan bukanlah penghalang untuk seseorang itu mencapai kejayaan. Saya yakin pada suatu hari nanti akan berjaya mengubah kehidupan keluarga saya kepada keadaan yang lebih senang.

Saya berharap kejayaan ini akan menjadi pendorang kepada adik-adik saya. Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh untuk peperiksaan yang lain.

Karangan Jenis Fakta

Soalan:

Tuliskan sebuah karangan tentang "Penggunaan Komputer".

Contoh karangan:

Komputer merupakan salah satu alat komunikasi rekaan sains. Penggunaannya begitu meluas dewasa ini. Komputer digunakan dalam pelbagai bidang.

Komputer sering digunakan di pejabat-pejabat kerajaan atau swasta. Ia berfungsi sebagai alat untuk menyimpan data-data. Dengan penggunaan komputer, kakitangan pejabat dapat menjalankan tugas dengan cepat dan tepat.

Pusat-pusat perubatan juga menggunakan komputer bagi mengesan sesuatu penyakit. Dengan penggunaan komputer juga, ia dapat mengatasi kekurangan tenaga pekerja. Komputer dapat membantu menyelesaikan kes-kes atau pembedahan yang rumit.

Komputer turut digunakan dalam bidang pelajaran. Kebanyakan sekolah menggunakan komputer untuk mengajar mata pelajaran Matematik, Sains, Fizik dan sebagainya. Ia banyak meningkatkan pemahaman murid dalam mata pelajaran tersebut dengan lebih mendalam dan secara kendiri.

Pendek kata, penggunaan komputer banyak mendatangkan keuntungan. Ia dapat menjimatkan masa dan wang serta membantu menyelesaikan masalah yang sukar diselesaikan oleh akal manusia.

14 Julai 2009

SELAMAT DATANG

Terima kasih kerana mengunjungi blog ini.
Semoga kita sama-sama mendapat faedah atas ilmu dan maklumat yang diperolehi.
Wassalam.