27 Jun 2011

HARI SUKAN TAHUNAN SK SUNGAI TUANG 2011

Pada minggu lepas, SK Sungai Tuang telah mengadakan Hari Sukan Tahunan. Hari sukan itu telah diadakah pada 24 Jun 2011 iaitu hari Jumaat. Ia dijalankan di padang SK Sungai Tuang bermula pada pukul 2.30 petang.

Tujuan hari sukan itu diadakan adalah untuk mencungkil bakat murid dalam bidang kesukanan di samping melaksanakan aktiviti tahunan sekolah. Semua murid, guru-guru dan ibu bapa serta penjaga murid hadir pada petang itu. Murid-murid dibahagikan kepada empat buah rumah sukan iaitu Rumah Biru, Rumah Hijau, Rumah Merah dan Rumah Kuning.

Sebelum hari sukan diadakan, acara raptai perbarisan, latihan senamrobik dan persiapan khemah rumah sukan telah diadakan. Acara sukantara dan acara akhir padang juga telah dijalankan. Semua murid rumah sukan dan guru-guru rumah sukan masing-masing telah terlibat melaksanakannya.

Semasa kejohanan hari sukan dijalankan, ia dimulakan dengan acara perbarisan rumah-rumah sukan dan bacaan ikrar kejohanan oleh ketua kontinjen iaitu Saudara Amar bin Samsuri. Ucapan perasmian Hari Sukan Tahunan telah disempurnakan oleh Tuan Haji Bahar bin Jaafar iaitu Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Tuang. Beliau menasihati murid-murid SK Sungai Tuang agar seimbang dalam bidang pelajaran dan bidang kokurikulum agar menjadi insan yang cemerlang dan berjaya dalam hidup pada masa depan. Selepas itu, persembahan senamrobik diadakan diiringi dengan lagu yang rancak.

Antara acara-acara hari sukan yang diadakan pada hari itu ialah lari 100 meter, lari 200 meter, lari 4 X 100 meter dan sukaneka untuk murid-murid. Acara pegawai sukan dan ibu bapa juga dijalankan. Selain itu, pertandingan teka kacang juga diadakan bagi memeriah hari sukan tahunan itu.

Setelah semua acara sukan tahunan selesai dijalankan, semua murid diminta berkumpul dalam rumah sukan masing-masing di hadapan pentas bagi majlis penyampaian hadiah kepada pemenang. Johan rumah sukan pada tahun ini telah digondol oleh Rumah Biru. Manakala hadiah olahragawan dan olahragawati telah dimenangi oleh Ammar bin Samsuri dan Nur Hamizah binti Kamarulzaman di mana mereka telah berjaya memenangi empat pingat emas dalam acara masing-masing.

Majlis pada hari itu bersurai pada pukul 6.20 petang. Sebelum pulang guru-guru, murid-murid dan ibu bapa serta bergotong-royong mengemaskan khemah rumah sukan dan padang. Murid-murid pulang dengan perasaan yang seronok walaupun letih.

3 ulasan:

  1. yang contoh karangan ini untuk saya tidak di selesai.boleh tak buat aku sekaki payung

    BalasPadam
  2. Wah Syabas!!!

    BalasPadam
  3. Banyaknya tapi tak sesuai

    BalasPadam