30 Ogos 2019

Laporan Sambutan Hari Kanak-kanak SK Sungai Tuang

Pada 2 Oktober 2019, SK Sungai Tuang telah mengadakan sambutan Hari Kanak-kanak. Tujuan sambutan itu diadakan adalah untuk menggembirakan kanak-kanak.

           Sebelum sambutan Hari kanak-kanak, murid-murid sibuk membuat persediaan untuk mencantikkan dewan sekolah. Antaranya termasuklah menyapu lantai, menghias pentas, menyusun kerusi dan sebagainya. Murid-murid bekerjasama menjalankan tugas bagai aur dengan tebing. Selepas itu, dewan sekolah kelihatan bersih dan cantik seperti istana.

         Pada hari tersebut, guru-guru dan murid-murid berkumpul di dewan sekolah. Keadaan di sana penuh sesak seperti ikan di dalam belat. Mula-mula, Guru Besar dijemput untuk memberikan ucapan kepada murid-murid. Dalam ucapan Guru Besar, beliau menasihati murid-murid supaya belajar bersungguh-sungguh kerana usaha tangga kejayaan. Beliau juga mengucapkan “Selamat Hari Kanak-kanak” kepada murid-murid. Kemudian, beliau merasmikan sambutan Hari Kanak-kanak.
          Pelbagai persembahan pentas yang menarik telah dijalankan untukmenghiburkan hati para penonton. Antaranya termasuklah nyanyian, tarian dan lakonan. Persembahan kemuncak ialah pertunjukan silap mata yang dipersembahkan oleh seorang murid Tahun 6 Kalaboratif iaitu Amin. Persembahannya berjaya mempesonakan perhatian para penonton. Para penonton bersorak-sorai dan memberikan tepukan yang gemuruh. Suasana yang meriah telah menyelubungi seluruh dewan pada ketika itu.
          Selepas 2 jam, persembahan pentas pun tamat. Murid-murid pun beratur balik ke kelas masing-masing untuk mengadakan jamuan. Murid-murid menikmati makanan dan minuman yang enak bersama dengan guru kelas mereka di dalam kelas. Murid-murid juga menjalankan banyak permainan di kelas. Akhirnya, guru kelas juga membahagikan bungkusan hadiah kepada murid-murid. Murid-murid berasa suka hati apabila menerima hadiah.
          Pada pukul 2.00 petang, sambutan Hari Kanak-kanak pun tamat. Murid-murid pun pulang ke rumah dengan puas hati. Sambutan Hari Kanak-kanak telah diadakan dengan berjaya pada tahun ini.
 Laporan disediakan oleh,                                                                                                  23 OKTOBER 2019.
  Aiman Affandi
….…………………………………..……..
(MUHAMMAD AIMAN BIN AFFANDI)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,
SK Sungai Tuang.

Sambutan Hari Kanak-kanak di Sekolah Saya


Sekolah saya menyambut Hari Kanak-kanak pada minggu pertama bulan Oktober tiap-tiap tahun. Hari ini adalah hari yang paling gembira bagi kanak-kanak sekolah.

       Pada Hari Kanak-kanak, saya tiba di sekolah lebih awal dari biasa. Murid-murid semuanya kelihatan tersenyum-senyum kerana suka hati. Pada pukul 8.00 pagi, kami masuk ke tapak perhimpunan sekolah untuk menyaksikan persembahan silap mata.

      Selepas itu, murid-murid pun balik ke bilik darjah masing-masing. Kemudian guru darjah pun membahagikan bungkusan hadiah kepada murid-murid. Di dalam bungkusan itu ada gula-gula, biskut, minuman kotak, kek dan lain-lain lagi.

      Hari Kanak-kanak merupakan hari yang penuh erti bagi semua kanak-kanak di dunia. Kanak-kanak adalah harapan bangsa dan tiang negara pada suatu masa kelak. Jadi semua kanak-kanak harus belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi rakyat yang baik.

      Kesimpulannya, sambutan Hari Kanak-kanak meninggalkan kenangan terindah kepada kami yang bergelar murid sekolah sehingga ke akhir hayat.