30 September 2025

Karangan jenis cerita

  

Berkelah di Taman Rekreasi Gunung Ledang

Pada hari Ahad yang lalu, saya dan keluarga pergi berkelah di taman rekreasi berhampiran dengan rumah kami.  Kami seramai lima orang sekeluarga bertolak ke sana awal-awal pagi lagi.

          Kami tiba di sana pada jam 9.00 pagi dengan menaiki kereta yang dipandu oleh ayah.  Ibu telah menyediakan pelbagai makanan untuk dibawa ke Taman Rekreasi Gurung Ledang. Aktiviti perkelahan akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli keluarga.

          Setiba di sana, kami mencari tempat yang sesuai di tepi sungai untuk berkelah.  Kakak yang paling sibuk membantu ibu menyediakan dan menghidangkan makanan.  Sewaktu berkelah, kami makan dan minum dengan penuh berselera sehingga kenyang.

          Kemudian, saya dan ayah mencampakkan mata kail joran kami ke dalam sungai itu.  Tidak lama kemudian joran kami telah mengenakan beberapa ekor ikan sungai.  Kami berjaya menaikkan ikan lampam jawa, sebarau dan toman.

          Selepas itu, ayah membuat bara api untuk membakar ikan-ikan yang kami pancing tadi.  Saya membantu ayah mengumpul kayu api dan sumber yang boleh dijadikan bahan bakar.  Adik pula berseronok mandi-manda air sungai sambil menyanyikan lagu kegemarannya.  Seterusnya, kami menikmati pula keenakan isi ikan sungai selepas dibakar tadi bersama-sama.

          Akhirnya, kami bertolak pulang pada jam 2.00 petang selepas puas menikmati aktiviti perkelahan dan suasana alam semula jadi di sana.  Saya dan keluarga bercadang untuk ke sana lagi jika ada kesempatan pada tahun depan kerana aktiviti sebegini perlu dilakukan dengan lebih kerap agar hubungan kekeluargaan menjadi lebih erat lagi.

Menyatakan pendapat berdasarkan situasi.

Soalan : 

Ramai pemandu suka menggunakan telefon bimbit semasa di jalan raya.

Tuliskan pendapat kamu mengenai kesan yang berlaku sekiranya menggunakan telefon bimbit semasa memandu.


Jawapan:

Pada pendapat saya, pemandu yang menggunakan telefon bimbit semasa memandu boleh menyebabkan daya tahan kawalan stereng akan menghilang.  Di samping itu, kenderaan yang dipandu tidak stabil.  Keadaan ini boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain kerana boleh menyebabkan berlaku kemalangan jalan raya.  Oleh itu, pemandu perlulah sentiasa berwaspada dan mematuhi undang-undang jalan raya kerana “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.

Menyatakan pendapat berdasarkan situasi.

 

Soalan:

Semasa waktu rehat di sekolah, kamu mendapati seorang kawan kamu tidak mencuci tangan sebelum makan.  Selain itu, kamu juga mendapati kukunya panjang dan kotor.

Sebagai seorang kawan yang baik, apakah tindakan yang perlu kamu lakukan?


Jawapan:

Sebagai seorang rakan yang baik, saya akan menasihati rakan tersebut supaya mencuci tangan terlebih dahulu sebelum makan.  Selain itu, saya juga akan menasihatinya supaya memotong kuku agar sentiasa bersih.  Hal ini demikian kerana kotaran dan daki yang terdapat dicelah-celah kuku boleh mengundang pelbagai jenis penyakit.

10 Julai 2025

Latihan Menulis Karangan

 

Soalan : Pada suatu petang, kamu berjalan-jalan mengelilingi kawasan kampung.  Tiba-tiba, kamu terlihat asap berkepul-kepul naik ke udara.  Kamu pun segera ke arah kejadian itu berlaku.

Ceritakan tindakan yang akan kamu lakukan seterusnya.

Buat karangan dalam enam perenggan dan panjang karangan kamu hendaklah 80 hingga 120 patah perkataan.

02 Julai 2025

Karangan Bersiri

 Tuliskan sebuah karangan tentang pengalaman kamu membantu seekor anak kucing terjatuh ke dalam longkang semasa pulang dari sekolah.

Panjang karangan kamu sekurang-kurangnya 80 patah perkataan.

 

 

04 Mac 2025

Bercuti di Tanah Tinggi Cameron

 

 

Tanah Tinggi Cameron, yang terletak di negeri Pahang, Malaysia, merupakan destinasi percutian yang sangat popular di kalangan pelancong. Dikenali dengan cuaca sejuk, pemandangan yang menakjubkan, dan ladang teh yang luas, Cameron Highlands menawarkan pengalaman bercuti yang unik dan menyegarkan.

 

Setibanya di Cameron Highlands, pengunjung akan disambut oleh udara segar dan sejuk yang berbeza daripada cuaca panas di kawasan rendah. Perjalanan ke tanah tinggi ini juga sangat menarik, dengan jalan berliku yang dikelilingi oleh hutan hijau yang subur. Pemandangan yang menakjubkan ini sudah pasti akan memukau setiap pengunjung.

 

Salah satu tarikan utama di Cameron Highlands adalah ladang teh Boh. Di sini, pengunjung boleh melihat proses penghasilan teh, dari pemetikan daun teh hingga ke penyediaan minuman yang enak. Mengunjungi ladang teh ini bukan sahaja memberikan peluang untuk menikmati pemandangan yang indah, tetapi juga membolehkan pengunjung merasai teh segar sambil menikmati suasana tenang di kafe yang terletak di puncak bukit.

 

Selain ladang teh, Cameron Highlands juga terkenal dengan kebun strawberi. Pengunjung boleh memetik strawberi segar sendiri dan merasai manisnya buah-buahan ini. Aktiviti ini sangat menyeronokkan, terutamanya bagi keluarga dan kanak-kanak. Selain strawberi, terdapat juga pelbagai jenis sayur-sayuran segar yang ditanam di kawasan ini, menjadikan Cameron Highlands sebagai salah satu pengeluar utama sayur-sayuran di Malaysia.

 

Bagi pencinta alam, terdapat banyak trek hiking yang menarik di Cameron Highlands. Salah satu trek yang popular adalah Trekking ke Gunung Brinchang, di mana pengunjung boleh menikmati pemandangan menakjubkan dari puncak gunung. Suasana hutan yang tenang dan keindahan flora dan fauna di sepanjang trek pasti akan memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

 

Di samping itu, pengunjung juga boleh melawat pasar malam di Brinchang, di mana pelbagai jenis makanan tempatan dan cenderamata dijual. Pasar malam ini adalah tempat yang sesuai untuk merasai makanan tradisional seperti jagung bakar, keropok lekor, dan pelbagai jenis kuih-muih. Suasana meriah di pasar malam ini menambah lagi keseronokan bercuti di Cameron Highlands.

 

Bercuti di Tanah Tinggi Cameron bukan sahaja memberikan peluang untuk menikmati keindahan alam semula jadi, tetapi juga pengalaman budaya yang kaya. Dengan pelbagai aktiviti yang ditawarkan, dari melawat ladang teh hingga menjelajah hutan, Cameron Highlands adalah destinasi yang ideal untuk mereka yang ingin melarikan diri dari kesibukan kota dan menikmati ketenangan alam.

 

Secara keseluruhannya, Cameron Highlands adalah tempat yang sempurna untuk bercuti. Keindahan alamnya, cuaca yang sejuk, dan pelbagai aktiviti menarik menjadikannya destinasi yang tidak boleh dilepaskan. Bagi sesiapa yang merancang percutian, Tanah Tinggi Cameron pasti akan memberikan pengalaman yang memuaskan dan penuh kenangan.

06 November 2024

SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI

 

Soalan Karangan:

Kamu sekeluarga telah berpindah ke tempat baharu. Tulis sepucuk surat kepada rakan kamu untuk menceritakan sekolah baharu kamu. Tulis surat itu selengkapnya.

 

                                                                                                                    No 12, Jalan Permata,
                                                                                                                    Kampung Durian Daun,
                                                                                                                    78300 Masjid Tanah,
                                                                                                                    Melaka.

                                                                                                                    6 November 2024.

Ke hadapan sahabatku, Adam Haris yang berada di Bangi, Selangor. Apa khabar saudara? Diharapkan saudara sekeluarga sihat. Saya dan keluarga di sini juga sihat sejahtera.

Saudara,

        Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk bercerita tentang sekolah baharu saya. Saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K). Sekolah saya terletak di sebuah kampung. Kawasan sekitar sekolah saya sungguh cantik dan bersih.

        Saya belajar dalam Tahun Enam Ibnu Kathir. Pada mulanya, agak sukar untuk saya menyesuaikan diri di tempat baharu. Namun, lama-kelamaan semuanya berjalan dengan lancar kerana murid-murid dalam kelas saya peramah dan baik-baik. Selain itu, mereka banyak membantu saya.

        Di sekolah saya ada 17 orang guru. Guru di sini baik-baik. Encik Zulfakar bin Talip ialah guru besar sekolah saya. Guru kelas saya pula ialah Encik Muhammad Amirul bin Othman. Walaupun bersikap tegas, namun mereka baik hati.

        Sungguh cepat waktu berlalu. Sudah hampir dua bulan saya belajar di sekolah ini. Walaupun saya banyak mendapat rakan baharu, namun mereka tidak sama seperti saudara. Maklumlah kita berkawan sejak kecil. Banyak kenangan pahit dan manis kita harungi bersama-sama.

        Sampai di sini dahulu surat saya pada kali ini. Saya berharap agar saudara tidak keberatan untuk membalas surat ini. Semoga persahabatan kita akan terus berkekalan.

Sekian, terima kasih.

                                                                                                                           Yang benar,
                                                                                                                         

                                                                                                                           .......................................

                                                                                                                            (Khaleff Adli bin Jasmi)