25 Mac 2010

APA ITU PIDATO?

Makna Pidato
Pidato ialah syarahan kepada umum, atas tajuk tertentu yang disampaikan oleh seorang penyampai
yang dipanggil “pemidato”, mengandungi pendahuluan, isi, dan penutup.
Tujuan Pidato
Pidato bertujuan menyampaikan idea berkenaan sesuatu isu kepada hadirin, dalam masa yang sama
meyakinkan hadirin tersebut melalui cara pembawaan pidato. Pemidato mestilah memahami tujuan
pidato ini terlebih dahulu.
Beza Istilah
Kita sering terkeliru dengan istilah “pidato”, “ucapan”, dan “syarahan”. Persamaan kesemua ini ialah,
disampaikan oleh seorang penyampai kepada khalayak. Ini berbeza dengan bahas atau debat yang
disampaikan secara berkumpulan bertujuan mengalahkan pihak lawan.
Pada hemat saya, pada asasnya pidato dan syarahan sama. Tidak banyak perbezaan antara
kedua-duanya kecuali konteks yang dilihat oleh masyarakat. Syarahan boleh dilihat daripada
beberapa konteks. Yang pertama ialah konteks syariah dan akidah. Seringkali penyampaian yang
berkisar akidah, syariah, sirah dan fiqah disebut syarahan. Pertandingan bercakap sempena Maal
Hijrah juga disebut “Pertandingan Syarahan”. Yang kedua ialah penyampaian panjang lebar oleh
tokoh-tokoh, khususnya ahli akademik berkenaan sesuatu. Ini juga dipanggil syarahan. Sebab itulah
pendidik di universiti digelar pensyarah. Yang ketiga, seperti yang pertama tadi, tetapi tidak
menyebut hal-hal kerukunan Islam dan iman, tidak menyebut sirah nabi dan lain-lain, juga disebut
syarahan.
Yang disebut pidato ialah syarahan, tetapi dalam konteks yang pertama dan ketiga. Konteks
kedua tidaklah dipanggil pidato kerana ia merupakan persembahan yang menggunakan teks dan
bahan rujukan yang banyak semasa menyampaikan.
Sementara ucapan pula membawa maksud yang berbeza. Ucapan biasanya berkaitan dengan
sesuatu majlis atau upacara, dibuat semasa awal atau akhir majlis tersebut berlangsung. Ucapan
biasanya boleh menyentuh hal-hal lain selain topik yang diberikan, atau juga boleh menyentuh dua
tiga perkara sekali gus, tidak seperti pidato yang hanya bertumpu kepada satu topik sahaja.
Memilih dan Memahami Tajuk
Sekiranya tajuk boleh dipilih, kita hendaklah memilih tajuk yang mana kita berpengalaman atau
berpengetahuan luas tentangnya. Hal ini demikian supaya kita yakin dengan apa yang disampaikan.
Bermula dengan keyakinan diri sendirilah kita dapat meyakinkan hadirin. Walau bagaimanapun,
sekiranya tajuk tidak diberi pilihan, kita hendaklah memahami dahulu tajuk yang diberi, seterusnyua
membuat kajian dan bacaan yang mendalam tentangnya. Konsep sesuatu tajuk itu perlu difahami
terlebih dahulu.
Misalnya, jika diberi tajuk “Negara Kita Tanggungjawab Kita”, apakah yang dikehendaki oleh
tajuk tersebut? Sekali lalu memang sukar untuk memikirkan apa yang boleh kita cakapkan tentang
tajuk tersebut. Tetapi kita boleh analisis. Adakah tajuk itu mahukan “kesan”, “faktor”, “peranan”
ataupun ia mahu dilihat daripada pelbagai “konteks”. Dalam memahami tajuk yang bersifat umum
seperti ini, terpulang kepada kita bagaimana membawanya. Sekiranya kita ingin menganggapnya
sebagai “kesan”, maka kita boleh bawa tajuk itu sebagai “Apakah kesan sekiranya rakyat
bertanggungjawab terhadap negara”, tetapi sekiranya peranan, maka kita boleh membawanya
“Apakah peranan kita sebagai warga Malaysia” dan sebagainya. Sekiranya kita mahu melihatnya
daripada pelbagai “konteks”, maka kita boleh melihat tanggungjawab kita dalam konteks ekonomi,
sosial dan sebagainya.
Sekiranya tajuk yang lebih spesifik diberi seperti “Peranan Pelajar Dalam Arus Globalisasi”,
maka lebih mudah. Tak perlu pening-pening memikirkan apa yang dikehendaki tajuk. Sudah tentu
peranan yang dikehendaki. Cuma jangan lupa kaitkan dengan arus globalisasi.
Lain dengan Bahas (Debat)!
Dalam memahami tajuk juga, pidato sedikit berbeza dengan bahas. Dalam bahas, konsep sesebuah
tajuk (usul dalam istilah bahas) itu perlu difahami dengan teliti supaya dapat menyerang lawan
dengan berkesan dan dapat melindungi diri di sebaliknya. Dalam bahas, kita harus berhati-hati
dengan perkataan-perkataan seperti “mampu”, “berupaya”, “asas”, “pemangkin”, “penggerak” dan
beberapa perkataan lagi.
Sebagai contoh, “Akhbar Utusan Mampu Membentuk Akhlak Masyarakat”. Kenyataan ini boleh
difahami dengan dua cara. Yang pertama, “ada atau tidak” kemampuan akhbar Utusan membentuk
akhlak masyarakat. Sekiranya faktor yang membentuk akhlak itu ada, walaupun satu peratus, maka
dikira akhbar utusan mampu! Misalnya, akhbar Utusan mempunyai pembaca yang ramai dan penulis
yang berpengaruh dan berpengalaman. Maka ini menjamin akhbar tersebut berkemampuan
membentuk akhlak masyarakat. Soal masyarakat sekarang rosak akhlaknya atau tidak, tidak timbul
sama sekali, kerana kita hanya membicarakan kemampuan akhbar itu sahaja, bukan kesannya.
Cara kedua memahaminya ialah, akhbar Utusan itu “mampu”, sekiranya ia terbukti berjaya
mendidik masyarakat. Sekiranya orang yang membaca Utusan mengubah tingkahlakunya, daripada
jahat kepada baik, daripada tak suka tolong orang kepada suka menderma, maka akhbar Utusan
dikira mampu membentuk akhlak masyarakat. Faktor-faktor kebolehan penulis Utusan, dan bilangan
pembaca yang ramai tidak dilihat, kerana kesan akhirnya, adakah masyarakat itu terbentuk
akhlaknya atau tidak jauh lebih penting.
Kedua-duanya logik! Maka sebab itulah bahas memerlukan pemahaman konsep sesuatu usul itu
dengan jelas. Dalam kes Utusan ini, pihak kerajaan (pencadang) akan menggunakan pemahaman
cara pertama sementara pembangkang pula cara kedua. Peluang untuk menang adalah 50-50 untuk
kedua-dua pasukan, cuma cara pembawaan yang meyakinkanakan menentukan kemenangan.
Cukup cerita bahas. Dalam pidato, pemahaman konsep yang begitu teliti sebegini adalah tidak
perlu, kerana kita bukan bertikam lidah ketika berpidato. Tiada siapa untuk dilawan. Ingat tujuan
asal pidato, menyampai dan meyakinkan. Maka jika diberi tajuk “Akhbar Utusan Mampu
Membentuk Akhlak Masyarakat”, seperti yang telah dibincangkan tadi, analisis tajuk ini, dan
fikirkan isi-isi yang meyakinkan. Yang lebih penting daripada isi ialah cara pembawaan!
Sangat-sangat penting : Masa
Masa sangat-sangat penting. Sangat-sangat! Pidato mesti dirancang dengan baik supaya tamat tepat
pada masanya. Tak ada gunanya bagi isi yang bernas mana sekalipun, setelah loceng penamat
diberikan. Selain tiada markah diberikan, kredibiliti seorang pemidato akan jatuh apabila terlebih
masa. Masa yang diberi berbeza-beza mengikut pertandingan (sekiranya ia pertandingan). Pidato
Piala Diraja memberi 7 minit kepada setiap peserta.
Pendahuluan dan penutup ialah syarat wajib. Antara kedua-duanya, rancanglah isi. Untuk pidato
7 minit seperti Piala Diraja, berilah empat isi. Tetapi terdapat juga pidato yang agak pelik seperti
Pidato Kepenggunaan yang mengharapkan semakin banyak isi semakin baik. Untuk pidato seperti
ini, berilah 7-8 isi. Terpaksa kurangkan huraian dan contoh. Berlatih banyak kali dengan mengset
masa, sekiranya terlebih, potong mana-mana bahagian yang kurang penting.
Bagaimanapun, sekiranya pada hari pertandingan masa kita terlebih daripada apa yang dijangka,
ingatlah, mengakhiri lebih baik daripada tergantung. Biasanya loceng akan dibunyikan seminit yang
terakhir. Sekiranya kita belum masuk bahagian penutup apabila loceng ini dibunyikan, dan banyak
lagi yang perlu dipidatokan, lupakan sahaja. Cepat-cepat habiskan isi yang sekarang, dan terus
masuk ke penutup. Yang penting, sebelum loceng tamat dibunyikan, penutup berjaya dihabiskan.
Kalau terlebih setakat 5 saat, masih boleh dimaafkan. Walaupun kita rasa kecewa kerana banyak isi
tidak dapat disampaikan, tetapi jangan lupa, tiada siapa yang tahu kecuali diri kita sendiri.
Untung-untung hakim tak sedar. Yang lebih penting ialah, kita berjaya berpidato dengan lancar dan
profesional.
Pendahuluan, Isi dan Penutup
Cara memulakan pidato bergantung. Ada yang memulakan dengan petikan kata-kata, pernyataan dan
sebagainya. Yang penting pendengar dapat gambaran sedikit sebanyak tentang apa yang bakal
disampaikan nanti.
Isi yang baik pula haruslah mengandungi huraian dan contoh, seperti mana cikgu darjah 3 anda
telah ajar. Namun terdapat keadaan di mana contoh sukar diberi. Dalam keadaan ini, statistik,
keadaan semasa, kata-kata bidalan atau kata-kata orang ternama dapat menyelamatkan keadaan.
Pada penutup pula eloklah diulang semula isi yang telah kita sampaikan. Kemudian, nasihat dan
ajakan amat sesuai semasa mengakhiri bicara.
Gaya dan Penampilan
Mata dan Kepala
Mata hendaklah memandang muka hadirin dengan adil, kiri, kanan, depan, belakang, dan tengah,
bukan memandang lantai atau siling. Pandangan yang tajam akan menampakkan keyakinan.
Tangan
Kadangkala sukar mengawal pergerakan tangan kita. Maka cara terbaik ialah…biarkan tangan anda
bergerak sesuka hatinya.
Mulut
Cuba senyum selalu
Intonasi
Jangan bercakap menjerit-jerit atau terlalu perlahan. Gunakan nada semulajadi dan kawal supaya
kelihatan profesional.
Humor
Selitkan unsur-unsur humor. Jangan terlampau banyak.
Emosi
Emosi harus dikawal supaya tidak keterlaluan. Jauhkan daripada mengkritik pihak-pihak tertentu
atau menyentuh sensitiviti perkauman dan keagamaan.
Pakaian
Untuk lelaki, pakailah suit kemas bertali leher dan berkasut kulit. Atau sebagai alternative, pakailah
baju Melayu lengkap bersampin dan bersongkok. Ingat, pakaian lengkap sangat penting. Jangan
sekali-kali berkasut sukan Adidas atau Converse, walaupun mahal dan baru. Pakailah kasut kulit.
Juga jangan berbaju Melayu tidak bersampin, bersongkok atau berbutang. Jaga kredibiliti dan
profesionalisme anda (dengan kata lain, kemachoan anda).
Bagi perempuan, saya tidak begitu arif, tetapi suit nampak paling sesuai. Kemaskan tudung atau
uruskan rambut dengan rapi.
Bersedia, Bersedia, Bersedia
Yang paling penting ialah bersedia. Kalau anda boleh ulang teks sebanyak 100 kali, ulanglah.
Sampai hafal. Adanya teks di tangan menunjukkan anda tidak cukup bersedia ketika berpidato.
Kalau dibenarkan melihat point-point sekalipun, serlahkan kemachoan anda dengan tidak membawa
apa-apa di tangan. Yang penting, bersedialah, sehingga ke saat terakhir. Yang membentuk
kesempurnaan anda ialah kesediaan anda.
Ambil Perhatian
Pidato Konvensional dan Pidato Gaya Baru
Penyampaian pidato telah banyak berubah, tapi sayang, ramai yang tidak menyedarinya. Pidato
Gaya Lama ialah pidato pada tahun-tahun 70-an, 80-an dan awal 90-an. Pada akhir 1990-an, gaya
pidato telah berbah. Kami menggelar pidato gaya lama ini sebagai Pidato Konvensional. Yang
dimaksudkan Pidato Konvensional ini ialah, pidato dengan ayat yang berbunga-bunga, analogi yang
panjang, dan pidato yang berirama mendayu. Diberikan di sini beberapa unsur konvensional;
“Pada hari yang berbahagia ini, …”
“Berdirinya saya di sini ialah untuk …”
Pantun, syair, gurindam yang tidak berkaitan dengan isi
dan lain-lain. Dalam pidato konvensional juga, lentok bahasanya ada satu fesyen tertentu, tetapi
sukar saya ekspresikan dalam tulisan ini. Mungkin bila kita berjumpa boleh saya ajukkan.
Pidato Gaya Baru pula lebih ringkas dan padat, tetapi mudah difahami. Bukan maksudnya pidato
gaya baru ini bosan, sebaliknya humor yang diselitkan juga lebih berkualiti.
Oleh itu nasihat saya, elakkanlah Pidato Konvensional di zaman moden ini. Ada sesetengah
orang boleh geli telinga mendengarnya. Pidato kini lebih berpijak di bumi nyata, hampir menyerupai
ucapan ahli-ahli politik yang meyakinkan sekalian jelata.
Sekali lagi, Pidato dan Bahas Berbeza!
Ramai yang gagal membezakan keduanya. Berikut saya senaraikan beberapa kesilapan semasa
berpidato kerana menggunakan gaya bahas;
• Definisi
Dalam bahas, definisi amat penting. Dalam contoh akhbar Utusan tadi sebagai contoh, perkataan
“mampu” mesti didefinisikan setepat-tepatnya supaya pihak lawan tiada ruang untuk menyerang.
Bagaimanapun, dalam pidato, tiada siapa untuk dilawan. Yang penting ialah menyampai dan
meyakinkan hadirin. Maka pendefinisian tidak perlu sama sekali. Mungkin pendefinisian ada
dalam format Pidato Konvensional (saya pun tak tau). Tapi jangan sama sekali lakukannya
dalam pidato zaman moden ini.
• Hujah dan katakunci
Ramai yang suka memberi pengenalan hujah, sebagai contoh “Hujah saya yang pertama
ialah…melalui kata kunci…”. Yang pertamanya istilah hujah tiada dalam bidang pidato. Begitu
juga dengan kata kunci. Yang keduanya, dalam pidato tidak perlu memperkenalkan isi yang akan
kita bicarakan. Teruskan sahaja dengan isi. Perjalanan pengucapan hendaklah lancer tanpa ada
“isi pertama”, “isi kedua” dan sebagainya. Cukup dengan menyebutnya semasa penutup sahaja.
Kesimpulan Beberapa Perkara Penting
• Tujuan pidato ialah menyampai dan meyakinkan
• Pemilihan dan penghayatan tajuk sangatlah penting
• Format pendahuluan, isi dan penutup hendaklah difahami betul-betul
• Berhati-hati dengan perbezaan-perbezaan pidato dan bahas
• Gunalah Pidato Gaya Baru, tinggalkan Pidato Konvensional
• Rancang penggunaan masa dengan baik
• Menghabiskan pidato lebih baik daripada menyampaikan semua isi walaupun masa tak
cukup
• Kawal penampilan diri, gaya dan pandangan mata
• Bersedia, bersedia, bersedia

GURINDAM DAN SELOKA

GURINDAM
• Sejenis bentuk puisi (terdiri daripada dua baris, berisi dengan pelbagai pengajaran. (Kamus Dewan).
• Dalam baris kedua termuat jawapan atau ketegasan bagi baris pertama tadi.
• Rima akhir tiap-tiap baris gurindam adalam sama.
• Jenis-jenis gurindam :-
Gurindam serangkap dua baris
Gurindam serangkap empat baris
Gurindam bebas

Contoh Gurindam
Apabila banyak berkata-kata,
di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih suka,
itulah tanda hampirkan duka.
Apabila kita kurang siasat,
itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,
jika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,
itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
sia-sia sahajalah umur.
SELOKA
• Menurut kamus dewan seloka ialah sejenis puisi yang mengandungi ajaran (sindiran, jenaka, dll)
• Perkataan ‘seloka’ berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu ‘shloka’.
• Bentuk puisi lama yang ditulis secara berangkap-berangkap
• Rima akhir adalah tidak tetap
• Ia digubah sama ada mengikut bentuk pantun, syair ataupun perumpamaan
• Seloka tidak mempunyai pembayang
• Contoh seloka tiada pembayang :
Sudah bertudung terendak Bentan,
Dengan siapa saya sesalkan,
Sudah untung permintaan badan,
Pagar siapa saya sesarkan.

PANTUN

1. Dua Kerat
Buah beluluk buah kepayang,
Dimakan mabuk dibuang sayang.

2. Empat Kerat - Teka-teki
Kelip-kelip disangka api,
Kalau api di mana puntungnya;
Hilang ghaib disangka mati,
Kalau mati di mana kuburnya?

3. Empat Kerat - Jenaka
Orang Rengat menanam betik,
Betik disiram air berlinang;
Hilang semangat penghulu itik,
Melihat ayam lumba berenang

4. Empat Kerat - Kasih Sayang
Burung merbuk membuat sarang,
Anak enggang meniti di paya;
Tembaga buruk di mata orang,
Intan berkarang di hati saya.

5. Empat Kerat - Nasihat
Air melurut ke tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk;
Elok diturut resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.

6. Empat Kerat - Budi
Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi darjat kerana bahasa.

7. Empat Kerat - Nasib
Payang retak tali bersimpul,
Kendi lokan airnya tumpah;
Hidup tidak kerana kaul,
Mati bukan kerana sumpah.

8. Empat Kerat - Perantau
Pungut teritip di tiang batu,
Batu pecah dilanda karang;
Beginilah nasib dagang piatu,
Kain basah kering di pinggang.

9. Empat Kerat - Adat
Buah berangan di rumpun pinang,
Limau kasturi berdaun muda;
Kalau berkenan masuklah meminang,
Tanda diri beradat budaya.

10. Empat Kerat - Kepahlawanan
Patah rotan tali bersilang,
Batang meranti rimbun berjejal;
Langkah pahlawan di tengah gelanggang,
Berpantang mati sebelum ajal.

11. Empat Kerat - Peribahasa
Punggur rebah puyuh mendengut,
Dengut melata di tengah padang;
Sedangkan bah kapal tak hanyut,
Inikan pula kemarau panjang.

12. Empat Kerat - Kias dan Ibarat
Gesek biola tiup serunai,
Sayu dara berhati walang;
Putih mata si burung punai,
Kayu ara ditunggu helang.

13. Empat Kerat - Agama
Letak bunga di atas dulang,
Sisipkan daun hiasan tepinya;
Banyak berdoa selepas sembahyang,
Mohon diampun dosa di dunia.

14. Empat Kerat - Kanak-kanak
Anak rusa nani,
Baru kembang ekor;
Apa dosa kami,
Lalu tidak tegur.

Jenis-jenis Pantun Lain

Pantun Enam Kerat
Belayar perahu membawa kuini,
Ke tanjung Jati mengadap Paduka,
Bunga kemboja sembah berkarang;
Kalaulah tahu jadi begini,
Tidaklah hati dibawa berduka,
Ku pilih saja orang lain.

Lapan Kerat
Dini hari melawat pusara,
Bawa merbah bersama emas,
Nenas terletak tepi belana,
Belanga China bersalut arang;
Benihku cari disemai mesra,
Semaian bercambah menjelma tunas,
Kemudian subur indah berbunga,
Malangnya bunga di getu orang.

Sepuluh Kerat
Baju dastar kesumba,
Seluar gunting petani,
Jahitan nyonya kampung Erah,
Di hilir pasar Kampung Melaka,
Singgah di rumah nahkodanya;
Batang emas dahan suasa,
Buahnya intan dengan padi,
Bunga diisap burung merak,
Pipit hendak hinggap di rantingnya,
Adakah boleh oleh yang punya.

Dua Belas Kerat
Rotan sepatah dua patah,
Tarik kerakap batang padi,
Dibawa sultan dari Judah,
Padi yang jangan digemparkan,
Kalau gempar antara gugur,
Bila gugur masuk perigi;
Tuan di Mekah di Madinah,
Naik akhirat batu haji,
Tegak berdiri Rasululah,
Kami yang jangan dilupakan,
Kalau lupa antara tidur,
Dalam tidur menjadi mimpi.

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

JENIS-JENIS PANTUN

1. Pantun dua kerat
2. Pantun empat kerat
- Pantun kanak-kanak
- Pantun jenaka
- Pantun bersukacita
- Pantun berdukacita
- Pantun kiasan
- Pantun budi
- Pantun nasihat
- Pantun agama
- Pantun kasih sayang
- Pantun nasib
3. Pantun enam kerat
4. Pantun lapan kerat
5. Pantun sepuluh kerat
6. Pantun dua belas kerat
7. Pantun empat belas kerat
8. Pantun berkait

Contoh:
• Pantun dua kerat
• Pantun kanak-kanak
Sudah gaharu cendana pula,
Sudah tahu bertanya pula.

• Pantun empat kerat
• Pantun jenaka
Ayam disabung jantan dipaut,
Jika ditambat kalah laganya,
Asam di darat ikan di laut,
Dalam belanga bertemu jua.
• Pantun enam kerat
Apa di harap padi seberang,
Entah berderai entahkan tidak,
Entah dimakan pipit melayang,
Apa diharap kekasih orang,
Entah bercerai entah tidak,
Entah makin bertambah sayang.
MANTERA
• Kata atau ayat apabila diucapkan dapat menimbulkan kuasa ghaib (untuk menyembuhkan penyakit dan lain-lain), jampi. (Kamus Dewan)
TEROMBA
• Sejarah yang diceritakan dalam bentuk perbilangan, tombo, riwayat (Kamus Dewan).
• Merupakan susunan kata-kata adat.
Ciri-ciri
• Puisi bebas yang tidak tentu jumlah baris, rangkap, rima atau jumlah perkataan dalam satu baris.
• Terdapat sisipan berbagai-bagai puisi yang lain, misalnya pantun, gurindam, peribahasa dalam seuntai teromba.
• Isinya memuat hal-hal yang berhubungan dengan undang-undang, adt istiadat yang diamalkan oleh sesuatu kelompok masyarakat.
• Contohnya: Terombo dalam adat istiada perkahwinan.

GURINDAM
• Sejenis bentuk puisi (terdiri daripada dua baris, berisi dengan pelbagai pengajaran. (Kamus Dewan).
• Dalam baris kedua termuat jawapan atau ketegasan bagi baris pertama tadi.
• Rima akhir tiap-tiap baris gurindam adalam sama.
• Jenis-jenis gurindam :-
Gurindam serangkap dua baris
Gurindam serangkap empat baris
Gurindam bebas

Contoh Gurindam
Apabila banyak berkata-kata,
di situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih suka,
itulah tanda hampirkan duka.
Apabila kita kurang siasat,
itulah tanda pekerjaan hendak sesat.
Apabila anak tidak dilatih,
jika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencela orang,
itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
sia-sia sahajalah umur.
SELOKA
• Menurut kamus dewan seloka ialah sejenis puisi yang mengandungi ajaran (sindiran, jenaka, dll)
• Perkataan ‘seloka’ berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu ‘shloka’.
• Bentuk puisi lama yang ditulis secara berangkap-berangkap
• Rima akhir adalah tidak tetap
• Ia digubah sama ada mengikut bentuk pantun, syair ataupun perumpamaan
• Seloka tidak mempunyai pembayang
• Contoh seloka tiada pembayang :
Sudah bertudung terendak Bentan,
Dengan siapa saya sesalkan,
Sudah untung permintaan badan,
Pagar siapa saya sesarkan.
TEKA-TEKI
• Menurut Kamus Dewan teka-teki ialah soalan yang dikemukakan secara samar-samar atau rumit yang jawapanya harus diduga, soalan untuk menduga akal
• Contoh teka-teki ialah :
Kalau tuan muda teruna,
Pakai seluar dengan gayanya,
Kalau tuan bijak laksana,
Biji di luar apa buahnya ?

KARANGAN ( PENULISAN ) - BAHAGIAN B

Jenis-Jenis Karangan :
A. Karangan Berformat
1. Jenis Surat Kiriman Rasmi
2. Jenis Surat Kiriman Tidak Rasmi
3. Karangan jenis Ucapan
4. Karangan jenis Syarahan
5. Karangan jenis Dialog / Temuramah / Perbualan / Wawancara
6. Karangan jenis Berita
7. Karangan jenis Catatan Diari
8. Karangan jenis Laporan
9. Karangan jenis Perbahasan
10. Kad Jemputan

B. Karangan Tidak Berformat
1. Karangan Rangsangan Bergambar / Rangsangan Kata
2. Karangan Jenis Pengalaman / Cerita / Gambaran / Situasi
3. Karangan Jenis Fakta / Penerangan
4. Karangan Jenis Perbincangan
5. Karangan Jenis Melengkapkan Cerita
6. Karangan Jenis Autobiografi / Biografi
7. Karangan Jenis Peribahasa

ASiBiDiBaM

A = Apa

Si = Siapa

Bi = Bila

Di = Di mana

B = Bagaimana

M = Mengapa