01 Julai 2015

Pokok Seribu Guna

            Pokok kelapa digelar pokok seribu guna kerana daripada pelepah hingga ke batangnya boleh dijadikan kegunaan manusia.  Pokok kelapa banyak ditanam di kampung dan di tepi pantai.
            Pokok kelapa digelar pokok seribu guna kerana bahagian-bahagian pokok tersebut boleh digunakan untuk kegunaan harian manusia.  Misalnya, daun kelapa boleh dibuat pembungkus makanan seperti ketupat yang diadikan juadah semasa Hari Raya Aidilfitri.  Lidi kelapa pula boleh dijadikan penyapu untuk membersihkan halaman rumah.
            Selain itu, isi buah kelapa boleh dijadikan sebagai santan dalam masakan seperti nasi lemak dan kari.  Air kelapa muda pula boleh dijadikan minuman untuk menghilangkan dahaga semasa cuaca panas terik.  Pada masa kini, isi kelapa muda dijadikan minuman istimewa yang dinamakan ‘coconut shake’ dan menjadi kesukaan ramai termasuk pelancong asing.
            Di samping itu, sabut kelapa boleh dijadikan alat untuk mencuci periuk dan bahan bakar untuk membuat kuih tradisional.  Tempurung kelapa pula boleh dijadikan tabung, senduk, mangkuk dan boleh dijadikan bahan kraftangan untuk hiasan rumah.
            Seterusnya, batang kelapa boleh dijadikan titian untuk menyeberangi sungai kecil atau parit.  Batang kelapa juga boleh dijadikan tiang rumah atau tiang pagar daripada terbuang begitu sahaja.
            Kesimpulannya, pokok kelapa mendatangkan banyak faedahnya dalam kehidupan manusia dan menjadi sumber rezeki kepada kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan