18 April 2013

Pidato 2013


Indah kayu jadi hiasan,
Bunga telur di atas para;
Adat Melayu jadikan kiasan,
Pantun kuhulur pembuka bicara.

Bismillah....

Yang dihormati tuan pengerusi majlis, yang berusaha tuan-tuan guru besar, para hakim yang arif lagi bijaksana, barisan guru-guru yang disayangi dan rakan-rakan sekalian.

Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia.

Berdirinya saya di hadapan pentas ini adalah untuk menyampaikan pidato yang bertajuk ”Teknologi Terkini Hidup Berkualiti ”.

Para hadirin sekalian,

Setiap hari kehidupan manusia semakin berubah gaya hidupnya.  Semua manusia mahukan kehidupan yang sempurna dan semakin mudah setiap urusannya.  Maka teknologi terkini seiring dengan kehendak manusia tersebut.

            Bicara pertama saya yang ingin saya kaitkan dengan tajuk pidato saya ”  Teknologi Terkini Hidup Berkualiti ” adalah dari segi komunikasi.

Jika dahulu kita menggunakan telefon bimbit untuk bercakap atau menghantar mesej pesanan ringkas kepada rakan-rakan.  Tetapi kini kita boleh menggunakan telefon untuk kemudahan yang lebih canggih.  Kita boleh berbual-bual sambil melihat wajah rakan kita secara langsung dengan kemudahan 3G di mana-mana sahaja.  Telefon bimbit yang biasa kini telah bertambah hebat bertukar menjadi telefon pintar.  Teknologi ”touch skrin ” atau skrin sesentuh pada telefon pintar menjadi fenomena kepada kemajuan telefon bimbit dan komputer riba.

Istilah mesra pengguna menjadi impian kepada semua pengguna atau pengikut perkembangan ICT pada masa kini.  Kepada ahli perniagaan, cukuplah menggunakan telefon bimbit dan komputer riba untuk menguruskan perniagaan mereka secara online.  Laman web dan blog menjadi medan untuk memperluaskan rangkaian perniagaan mereka menggunakan alam maya.

Nama-nama besar seperti Bill Gates dan Steve Jobs bergelar jutawan kerana melibatkan diri dalam bidang perisian komputer dan teknologi telefon bimbit. IPod, iTunes, iPhone dan iPad yang menjadi kegilaan anak muda masa kini untuk memiliki peranti tersebut dalam menjalankan urusan kehidupan sehari-harian di samping ianya menjadi gaya hidup berkualiti pada masa kini.


 Bas Panorama Melaka telah tiba,
Kini tibalah bicara saya yang kedua.

Hadirin sekalian,

Semua manusia sukakan kecantikan.  Di bawah kata kunci penjagaan kesihatan ingin saya tegaskan bahawa teknologi terkini telah menyebabkan perubahan gaya hidup masyarakat di Malaysia pada masa sekarang.

Yang hodoh boleh menjadi cantik,  yang berbadan besar boleh memiliki pinggang yang ramping, yang buncit pula boleh dikempiskan perutnya manakala yang berkulit gelap bisa menjadi putih bak kata lagu ’Putih-putih melati, merah-merah delima, siapa yang baik hati, pasti kuterima... lebih-lebih lagi yang putih kulitnya.  Ini menjadikan anak-anak gadis pada masa kini mahu lebih bergaya dengan penampilan mereka.  Yalah siapa yang tidak mahukan penampilan diri yang nampak sempurna di mata orang lain.

Maka muncullah pelbagai produk di pasaran.  Produk JusMate 5 ialah produk kelangsingan badan dan mengempiskan perut diasaskan oleh DR Romzey.  Produk Safi Rania Gold pula boleh menghilangkan masalah jerawat di muka serta mencerahkan kulit wajah. Manakala produk SimplySiti yang terhangat di pasaran dapat menghiaskan wajah dengan bedak dan gincu melalui teknik solekan supaya wajah berubah menjadi lebih cantik dan jelita iaitu suatu produk yang diasaskan oleh penyanyi terkenal tanah air iaitu Siti Nurhaliza.

Apabila wajah dah cantik, bibir dah merah, pipi dah gebu, pinggang dah langsing maka saham diri pun akan bertambah tinggi.  Maka keyakinan diri akan bertambah dan dirinya akan sentiasa menjadi perhatian setiap mata yang memandang penampilannya.  Tak kelip-kelip mata memandang.


Sidang dewan yang budiman,
 Bicara saya ketiga kini menyusul dalam membincangkan tajuk ’Teknologi Terkini hidup berkualiti’ dikaitkan dalam bidang pertanian.  Filem Masam-Masam Manis lakonan Tan Sri P. Ramlee mengingatkan kita mengenai kata-kata terakhir beliau "Kahwin Lima Tahun Anak Sepuluh, Kembar Tak Berhenti' macam padi Malinja.  Sedar atau tidak, Malinja merupakan varieti padi pertama yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada tahun 1964.
Ia diikuti Mahsuri, Ria, Bahagia, Murni, Masria Jaya dan kini sebanyak 35 varieti padi telah dihasilkan. Selain itu, penyelidik MARDI juga mampu menghasilkan varieti Maswangi dan  Puteri yang sesuai ditanam dalam keadaan aerob, iaitu satu teknologi penanaman padi yang terbaru yang sedang diuji kemampuannya. Teknologi baru itu membuat penyelidikan bagi menghasilkan varieti padi bertujuan memperbaiki kualiti baka sedia ada.
Kandungan amilos menentukan kelembutan atau tekstur nasi iaitu peratusan rendah bermakna nasi lembut. ”Kaum Cina sukakan amilos rendah, Melayu juga suka amilos antara 18 dan 23 peratus”, menurut beliau.
Melalui hasil penyelidikan tersebut, secara tidak langsung dapat menghasilkan beras yang menjadi pilihan orang ramai dalam menikmati hidangan makanan sekeluarga di rumah mengikut kesukaan masing-masing. Ini akan menambahkan lagi kualiti hidup rakyat Malaysia bak kata orang ’hati senang umur pun panjang’.

Hadirin yang saya hormati,
Kesimpulannya, berdasar ketiga-tiga bicara saya tadi jelas menunjukkan kehadiran teknologi terkini dalam kehidupan manusia akan menjadikan kehidupan mereka lebih berkualiti.  Bak kata pepatah ”rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari’. Jika beroleh sebarang keuntungan maka jangan dibuang dan jangan mencari lawan kerana ianya hanya merugikan diri sendiri. Maka fikir-fikrkanlah.
Sekian, terima kasih.
Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan