20 Julai 2009

Karangan Jenis Autobiografi

Soalan 1:

Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk ’Aku Sebuah Basikal'.

Aku Sebuah Basikal

Aku berasal dari “Negara Matahari Terbit”. Aku dibuat di sebuah kilang besi waja yang tidak besar. Badanku terdiri daripada besi waja, getah asli, kaca dan plastik.

Apabila badanku telah siap dibuat, aku disebut basikal. Aku dan kawan -kawanku yang lain dipamerkan di sebuah bilik pameran. Aku berasa sungguh gembira kerana ramai orang memuji kecantikanku.

Tidak lama kemudian aku dan kawan-kawanku menaiki sebuah kapal dagang. Aku berasa sungguh seronok apabila mendapati kami akan dihantar ke Malaysia. Melalui perbualan dua orang kelasi kapal itu, aku mendapati ramai kanak-kanak di Malaysia ingin memilikiku. Aku semakin bangga.

Nasib kami sungguh malang . Kapal kami karam. Aku dan kawan-kawanku lemas. Setahun kemudian, aku dijumpai oleh seorang penyelam. Waktu itu badanku sudah berkarat. Penyelam itu membawa aku dan kawan-kawanku ke kedai yang membeli besi buruk. Aku dijual di situ.

Aku berasa sungguh kesal kerana aku telah menjadi bahan terbuang sebelum sempat mencurahkan baktiku kepada orang Malaysia.


Soalan 2 :

Tuliskan sebuah karangan yang bertajuk ’Aku Sehelai Baju'.


Aku Sehelai Baju

Aku dilahirkan di sebuah butik terkenal di ibu kota. Selepas dilahirkan, aku dipakaikan pada sebuah patung dan diletakkan di dalam cermin. Tanda harga yang terlekat di badanku menunjukkan RM 350.

Setelah lima hari berada di situ, aku telah dibeli oleh seorang gadia bernama Linda. Linda memakaiku pada majlis hari jadinya. Sebaik sahaja kawan-kawan Linda melihat diriku mereka semua memuji
kecantikan yang aku miliki.

Selang beberapa bulan, Linda ingin memakaiku sekali lagi. Apabila melihat badanku berkedut, dia mengambil seterika lalu menggosokku.

Ketika badanku diseterika, telefon berdering. Linda berlari meninggalkan aku sehingga terlupa untuk menutup suis seterika. Badanku mula terasa panas.

Aku cuba menahan keperitan, tetapi akhirnya aku hanya mampu menangis kerana terlampau sakit. Lama-kelamaan sebahagian badanku terbakar.

Apabila terhidu bau benda terbakar, Linda tergesa -gesa mendapatkanku. Tetapi sudah terlambat kerana aku tidak boleh diselamatkan lagi. Kini aku hanya menjadi penghuni setia almari usang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan