20 Julai 2009

Karangan Jenis Laporan

Laporan Kegiatan Persatuan Matematik Dan Sains
Sekolah Kebangsaan Darau


Persatuan Matematik dan Sains ditubuhkan pada tahun 2000. Ahli-ahli persatuan ini berjumlah 60 orang. Mereka terdiri daripada murid-murid Tahun Empat hingga Tahun Enam.

Persatuan ini dibentuk untuk meningkatkan taraf pencapaian murid dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Selain itu, melalui persatuan ini murid-murid dapat bertukar-tukar pendapat tentang pelajaran masing-masing.

Persatuan ini telah menjalankan beberapa aktiviti sepanjang tahun 2008. Aktiviti-aktiviti tersebut berbentuk akademik dan bukan akademik. Aktiviti pertama yang kami jalankan ialah ”Peraduan Menulis Esei Tentang Sains”. Sambutan yang diberikan terhadap peraduan ini adalah sangat menggalakkan. Peraduan ini dimenangi oleh Suriani Mat Zin, murid Tahun Enam Mawar.

Kami juga menganjurkan ceramah tentang sains dan matematik. Ceramah ini disampaikan oleh pensyarah dari Universiti Malaya. Selain itu, kami turut mengadakan gotong -royong membersihkan kawasan sekolah. Kami bekerjasama memperindah kawasan taman sains dengan menanam berbagai jenis bunga dan menamakan pohon-pohon tersebut mengikut istilah sains.

Pada cuti penggal kedua persekolahan, kami mengadakan lawatan ke Taman Ular di Batu Pahat. Sebagai hasil lawatan ini, kami banyak memperolehi pengetahuan tentang penyelidikan yang dijalankan oleh pihak Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia di situ.

Pada keseluruhannya, kami berpuas hati dengan aktiviti-aktiviti yang kami jalankan. Kami juga berterima kasih kepada guru penasihat, Cikgu Rosmini Jaafar yang banyak memberikan bimbingan kepada kami.

Disediakan oleh, 25 Oktober 2008.

Azmi
_______________
(AZMI BIN SULAIMAN)
Setiausaha,
Persatuan Matematik dan Sains,
Sekolah Kebangsaan Darau,
Jerteh, Terengganu.

1 ulasan:

  1. Oktober tu sepatutnya huruf besar...

    BalasPadam